Ustaz Asri, Rabbani, nasyid dari kaca mata stesen TV dan radio  

Selasa, 18 Ogos 2009

ARTIKEL berjudul Benarkah filem Yasmin karya tanah air paling hebat? yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu menerima reaksi yang pelbagai daripada pembaca. Ada yang bersetuju, tetapi ramai juga yang kurang senang dengan artikel itu kerana mempersoalkan kredibiliti Yasmin sebagai pengarah filem. Dari aspek personaliti, kita tidak sentuh sama sekali siapa Yasmin Ahmad. Namun, dari sudut karya, adalah lumrah kalau terus diperdebatkan walaupun pengkaryanya sudah meninggal dunia. Ini berlaku di mana, hatta dalam karya penulisan sastera tanah air.

Oleh itu, kita semua pihak yang memberi maklum balas terhadap artikel itu. Seperti kita katakan, idea Yasmin memang bagus. Niatnya baik. Namun begitu kita tidak membaca, menilai, mengamati aspek sub-teks dalam karya atau persembahan filem Yasmin secara selapis saja, iaitu dengan sekali pandang saja. Dalam banyak isu dan persoalan, kita melihat karya Yasmin sebagai berat sebelah, tidak realistik, menyindir orang Melayu, mengajak orang Melayu dan Islam supaya berfikiran liberal. Semasa hayatnya beliau terbuka dengan kritikan dan teguran. Allahyarham Yasmin tidak mudah melatah berbanding peminatnya.

Apa sekalipun, kita tetap berpendirian karya Yasmin memang baik tetapi bukanlah yang terbaik, jauh sekali hendak dikatakan hebat atau agung. Dalam menilai karyanya, kita tetap mengambil kira citra dan budaya bangsa, khususnya sebagai orang Melayu dan agama Islam. Kita tidak mempersoalkan niat stesen TV menyiarkan slot khas mengenang jasa dan sumbangan Yasmin. Cuma daripada maklum balas umum, apa sebenarnya sumbangan Yasmin terhadap dunia perfileman tanah air secara keseluruhannya?

Kita tidak pasti stesen TV melihatnya sebagai pengkarya filem yang hebat atau pembikin iklan komersial handalan? Kalau sebagai pembikin iklan komersial atau iklan awam, memang betul, dan kita akui Allahyarham Yasmin seorang yang handal dan mengagumkan. Tapi adakah kerana itu stesen TV menyiarkan slot khas mengenang kembali Yasmin Ahmad? Kalau itu ukurannya, kenapa tiada stesen TV yang dengan serta merta akan membuat siaran khas mengenang jasa dan sumbangan Ustaz Asri atau Mohd Asri Ibrahim, pemimpin dan vokalis kumpulan Rabbani yang meninggal dunia, Khamis lalu?

Kita mengalu-alukan inisiatif stesen TV menyiarkan slot mengimbas semula karyawan seni yang sudah meninggal dunia. Tetapi ia mestilah dilakukan dengan adil. Bukan hanya orang tertentu saja. Genre muzik nasyid tidak mendapat layanan sewajarnya oleh stesen radio. Muzik nasyid disifatkan sebagai tidak ada kelas atau dalam istilah sekarang tidak ‘urban’. Malahan mungkin beranggapan muzik nasyid macam muzik kampung. Muzik atau lagu nasyid sekadar menjadi penghias untuk slot masuk waktu solat dan selepasnya. Pengendali stesen radio tidak menilai muzik nasyid secara keseluruhannya iaitu bukan saja muzik tetapi inti pati pada seni kata lagu-lagunya.

Disebabkan layanan tidak adil ini, pergerakan kumpulan nasyid tidak ubah sebagai kumpulan indie. Tapi sekurang-kurangnya sekarang muzik dari kumpulan indie ini sudah mendapat tempat yang lebih baik di stesen radio mahupun TV berbanding dengan muzik nasyid. Realitinya pemergian Ustaz Asri sebenarnya turut menyedarkan kita di mana sebenarnya kedudukan penyanyi atau kumpulan nasyid. Ia jelas menunjukkan mereka tidak dianggap sebagai sebahagian daripada karyawan muzik yang sepatutnya diberi peluang, layanan dan tempat sama seperti pemuzik dan penyanyi lain.

Sebaliknya, genre nasyid seperti kena diskriminasi, terpinggir atau dipinggirkan, hanya diberi peluang muncul musim tertentu saja seperti Aidilfitri, Aidiadha, Ma’al Hijrah, nuzul al-Quran, Maulidur Rasul, persembahan di musabaqah al-Quran dan tidak lama lagi sempena Ramadan. Mungkin tidak dinafikan muzik nasyid agak stereotaip. Ini kita tidak nafikan. Inilah kelemahan yang perlu diperbaiki oleh penggiat nasyid. Namun, Asri bersama-sama Rabbani sudah mengambil langkah jauh ke depan. Beliau membawa genre nasyid ke dimensi baru dengan menjadi lebih segar, dinamik dan bergaya tersendiri. Walaupun masih mengekalkan irama nasyid konvensional - yang memberi penekanan kepada percussion atau muzik bergendang - Asri dari semasa ke semasa terus mengetengahkan perubahan baru sekurang-kurangnya dalam satu atau lagu terbaru nyanyiannya. Lagu Pergi Tak Kembali dan Intifada, misalnya, diketengahkan dengan muzik techno dengan teknologi komputer dan gelombang bunyi (synthesizer).

Namun begitu, lagu-lagu Rabbani masih menghadapi kesukaran untuk menembusi tembok halangan stesen radio. Kalau kumpulan nasyid seperti Rabbani pun menghadapi masalah untuk penyiaran di radio, apatah lagi dengan kumpulan nasyid lain. Jadi, apakah kerana kekurangan maklumat atau ketiadaan dokumentasi mengenai aliran muzik nasyid, terutama mengenai personaliti bernama Mohd Asri Ibrahim menyebabkan stesen TV atau radio mengambil masa untuk membuat program terbitan mengenang kembali Ustaz Asri?

AddThis Social Bookmark Button
Email this post


Design by Amanda @ Blogger Buster