Terjawab sudah!!  

Rabu, 15 April 2009


Akhirnya terjawab jua persoalan-persoalan yang selama ini menganggu fikiranku. Diriku merasa tenang dan lega setelah mendengar keputusan muktamadnya. Aku redha dan akur dengan semua ketentuan yang diberikan kepadaku. Walaupun hakikatnya aku tidak dapat mengelak daripada perasaan kecewa ketika itu. Namun aku tahu bahawa rezeki dan ketentuan itu terletak di tangan-Nya. Huuhh…aku menarik nafas panjang untuk melegakan perasaan teruk itu kiraku. Tidak apalah, aku boleh mencuba nasib lagi untuk tahun-tahun akan datang. Tahun yang tidak tentu nasibnya. Mungkin ada sinar harapan pada hari yang mendatang. Sapa tahu? Ermm…Aku harus berfikran terbuka dan menerima setiap apa yang berlaku dengan baik. Tapi apa yang mengelirukan semua pada malam itu ialah sebanyak tiga kategori tidak mempunyai pemenang. Satu persoalan yang cukup membuat otak pusing yang tidak ubah seperti gasing berpusing. Hairan dan keliru semua orang pada malam itu dibuatnya.

Kelihatan ada antara wakil-wakil kelab pada malam itu saling berpandangan menunjukkan memek muka kehairanan. Ada juga antara mereka yang bekerut dan ada yang seolah-olah tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Aku hanya diam terpaku di meja bulat hijau itu yang penuh dengan hidangan. Aku pun tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak wajar pada pandanganku. Bukan aku tidak redha dengannya namun kelihatan satu bentuk pendiskriminasian antara peserta pada malam itu. Nampaknya ( nama dirahsiakan untuk tujuan xmengaibkan ) pada malam itu seolah-olah membolot kebanyakkan anugerah yang diberikan pada malam itu. Tidak cukup dengan anugerah khas TNC, bahkan mereka juga menerima anugerah khas juri seperti khidmat masyarakat dan kesenian serta kebudayaan. Bukan aku membangkang keputusan itu namun bagi diriku ada lagi lebih layak dan sesuai dengan penganugerahan itu. Apa yang menyedihkan penglibatan mereka bukanlah sehebat mana pada pendanganku. Bagiku ini adalah politik dalam yang mungkin menjadi kuasa veto dalam menentukan keputusan muktamad itu. ‘Ya Allah’ aku tidak harus berfikiran begini. Aku mesti bersangka baik dengan semua ini. Mengapa harus aku bersangka buruk pada mereka? Tegahku ketika itu. Mengapa aku tidak berpandangan bahawa mereka telah bekerja keras dan telah memberikan komitmen dengan baik dalam organisasi mereka, dan mungkinkah ini adalah hasilnya? Astagfirullah…ini adalah sifat-sifat syaitan yang telah menganggu fikiranku. Aku rasa terkilan dan sedih ketika itu walaupun aku masih menunjukkan rentak wajah yang tenang dan sempat mengukir senyuman pada kawan-kawan yang lain walaupun aku tahu diriku tidak ubah seperti orang yang hipokrit. Biarlah aku pendam seketika. Asalkan orang tidak menilai dan berpandangan negatif pada diriku kerana tidak menerima kenyataan yang sudah tersurat itu.

Setelah waktu menghampiri jam 10.30 malam, majlis telah selesai dengan kemeriahan para pemenang dan majlis itu juga tidak ubah bagaikan bumi yang hilang cahayanya dan sedang mengelapkan dunia yang pada awalnya indah dan bercahaya. Aku tidak berlengah lagi ketika itu, aku terus mendapatkan motor untuk balik ke Kolej. Aku ingin meleraikan kekusutan yang berlaku beberapa jam tadi. Aku ingin tidur untuk melupakan segalanya. Bagiku tidur ialah cara singkat untuk menghilangkan kesedihan dalam diri selain memohon ketenangan dan petunjuk pada yang Esa.


AddThis Social Bookmark Button
Email this post


0 comments: to “ Terjawab sudah!!

Design by Amanda @ Blogger Buster